
Kehidupan Hati – Untuk Sampai Kepada Tuhan Yang Dikasihi
Oktober 22, 2007![]()
Sebuah kitab tasawuf, Kehidupan Hati Untuk Sampai Kepada Tuhan Yang Dikasihi diterjemahkan oleh Allahyarham Ustaz Haji Salleh Karimi bin Haji Mohd Kari daripada kitab Hayatul Qulub fi Kaifiyati al-Wusul ila al-MahbubKitab ini ditulis sebagai panduan kepada insan yang mahu menyucikan jiwa dan menghiasinya dengan bentuk amal tertentu bagi mencapai kebahagiaan yang berkekalan. Dibentangkan di dalamnya ilmu mengenali hal-ehwal hati atau qalbu, sama ada tentang kebaikan mahupun kejahatannya, dan bagaimana pula merawatnya daripada perkara aib dan kecelaan, serta cara-cara membersihkannya daripada najis maknawi. Mengenali hati ialah jalan untuk lebih mengenali Rab al-Izzati demi memperoleh keredhaan-Nya.
Terbina oleh empat bahagian utama, kitab ini membahaskan : pengenalan kepada ilmu dan hakikat tasawuf; dan takrif istilah sufi serta wasiat berguna buat musafir menujui al-Khaliq yang dicintai.
Kitab Kehidupan Hati untuk Sampai kepada Tuhan yang Dikasihi edisi adaptasi ini merupakan satu penulisan yang amat berharga di persada ilmu Islam, khususnya bidang ilmu tasawufyang menyentuh keperibadian, keluhuran dan pengabdian insan kepada Yang Maha Pencipta. Sehubungan itu, kitab ini juga memberi impak yang mendalam melalui sentuhan ilmu tasawuf terhadap pembangunan insan yang mempunyai semangat spiritual-sosial berdasarkan al-Quran dan al-Hadith serta kisah para sahabat r.a. Justeru, kandunganya sudah tentu dapat mengimbangi hadharah duniawiyyah dan ukhrawiyyah secara fizikal, spiritual dan metafizikal. Bertepatan dengan itu, usaha barisan panel penyunting yang mengadaptasi buku terjemahan ini ke dalam gaya bahasa moden diharapkan dapat memberi input yang baik kepada khalayak pembaca agar kandungannya mudah diamalkan.